Adakah Anda Seorang Yang Beretika Ketika Berforum?
oleh Zamri Nanyan
Jika anda menjalankan perniagaan di Internet, anda tidak akan terlepas dengan terma “forum marketing” atau pemasaran di forum.
Terlebih dahulu, saya ingin nyatakan yang forum ialah sebuah komuniti di internet di mana orang ramai dapat berkumpul, berkongsi maklumat, beriklan dan juga menjalankan perniagaan mereka. Jika dilakukan secara betul, forum dapat memberikan kredibiliti yang tinggi kepada anda. Sebaliknya, kredibiliti anda akan jatuh merudum jika tidak dilakukan dengan betul.
Beberapa contoh forum tempatan yang dapat saya senaraikan di sini ialah www.WangCyber.com, www.WebMasterMalaysia.com dan juga www.Melayu.com.
Lawati laman forum di atas dan anda akan berjumpa dengan ribuan pengguna internet yang berinteraksi sesama sendiri.
Namun begitu, masih ramai yang tidak memahami atau mematuhi etika berforum sehingga anda yang secara tidak langsung mengundang masalah kepada diri sendiri dan juga kredibiliti mereka. Jadi di sini, ingin saya senaraikan beberapa etika berforum di internet yang dapat saya kupas daripada pengalaman dan bacaan saya sendiri.
1. Hormati orang lain
Ada sesetengah daripada peserta tidak menghiraukan pendapat orang lain sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peserta forum lain. Ini terjadi kerana keegoan diri sendiri atau merasakan yang mereka sahaja yang betul dan mempunyai idea yang bernas untuk dikongsi bersama. Idea atau pendapat orang lain seakan tidak dapat dipakai. Kadang-kadang, ada yang membuat komen yang melampau sehingga menyinggung perasaan orang lain. Jika ditegur, mereka akan cepat melenting dan memberi alasan yang tidak rasional.
Untuk mengatasi masalah ini, saya sarankan yang anda berfikir bagaimanakah anda ingin dilayan jika anda membuat sebarang komen atau paparan di laman forum yang anda sertai. Pastinya anda ingin dihormati dan semestinya anda perlu menghormati orang lain.
2. Berikan maklumat yang berguna
Kelebihan utama forum ialah maklumat yang hendak disampaikan atau dibincangkan adalah pantas. Anda boleh mengutarakan sebarang soalan kepada peserta lain dan kadang-kadang, dalam masa beberapa saat sahaja, sudah ada yang hendak menolong menyelesaikan masalah anda.
Jadi, gunakan kelebihan ini sebaiknya, Jika ingin bertanyakan sebarang soalan, pastikan soalan yang anda tanya itu sudah dijawap sebelum ini dan juga dapat memberikan manfaat kepada peserta forum yang lain. Begitu juga jika anda ingin memberikan pendapat atau jawapan kepada soalan yang diutarakan. Jawab dengan sopan dan pastikan jawapan yang anda berikan tidak lari dari tajuk dan dapat menolong si yang bertanya.
Menyentuh topik ‘lari dari tajuk’, ini merupakan satu contoh di mana perbincangan yang pada asalnya memberikan manfaat kepada orang lain menjadi sesuatu yang kurang atau tidak berguna kepada umum.
Contohnya perbincangan mengenai penyakit kanser bertukar menjadi perlumbaan kereta semata-mata kerana yang menjawap soalan mengenai penyakit kanser tersebut adalah pelumba kereta haram sebelum ini. Walaupun topik lumba kereta haram yang berjela-jela tersebut menarik tetapi ianya tidak sesuai. Pasti ianya memberikan rasa tidak puas hati kepada peserta lain (yang juga merupakan pesakit kanser) yang benar-benar ingin mengetahui maklumat mengenai penyakit kanser.
Jadi, pastikan maklumat yang hendak anda sampaikan berguna kepada orang yang bertanya dan perserta-peserta forum yang lain.
3. Beriklan dengan bijak
Salah satu kelebihan forum yang paling menarik minat orang ramai ialah kebenaran untuk melakukan pengiklanan dengan percuma. Ramai yang menyatakan beriklan di forum adalah amat efektif kerana anda dapat menawarkan perkhidmatan atau produk anda kepada pasaran yang benar-benar mahukannya.
Saya juga bersetuju dengan komen tersebut kerana kejayaan terbesar saya melancarkan ebook Rahsia MLM (www.RahsiaMLM.com) adalah disebabkan pengiklanan dan juga “joint venture” dengan peserta di forum yang saya sertai.
Namun begitu, ada etika beriklan dengan betul. Contohnya, sesebuah forum ada menyediakan ruang khas untuk anda menawarkan perkhidmatan atau produk anda. Jadi gunakan ruang yang berkenaan untuk tujuan pengiklanan dan jangan sekali-kali cuba untuk menggunakan ruangan lain untuk tujuan ini (kecuali di signature file anda).
Walaubagaimanapun, sesetengah forum membenarkan anda meletakkan link ke produk atau produk affiliate anda apabila menjawap sesetengah soalan atau perbincangan. Jadi, pastikan anda baca peraturan berforum dahulu sebelum melakukannya.
Kesimpulannya, tiga kriteria atau etika berforum di atas patut anda aplikasikan sebaik-baiknya. Memang terdapat banyak lagi etika berforum yang tidak dapat saya nyatakan di sini, namun saya harapkan serba sedikit ilmu yang dikongsi bersama di sini dapat digunakan sepenuhnya - untuk kebaikan semua warga internet.
About the Author
============================================================
Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam perniagaan Internet sejak tahun 2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan yang lumayan pada masa yang sama. Beliau berasa puas sekiranya dapat membantu lebih ramai orang membongkar rahsia menjana pendapatan melalui Internet. Lawati laman web beliau di www.ZamriNanyan.com untuk mengenali Zamri Nanyan dengan lebih dekat.
============================================================
setiap apa perbuataan kita mesti beretika.Kitaran hidup selalunya benar